Khamis, 7 April 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


100 juta alamat e-mel bakal dijual

Posted: 07 Apr 2011 12:20 PM PDT

Dunia

pix_gal0
Penggodam curi data 2,500 syarikat termasuk Hotel Hilton, Citigroup

WASHINGTON: Penggodam berjaya melakukan rompakan data siber terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat membabitkan berjuta-juta nama dan e-mel daripada firma pemasaran online, Epsilon, dan merancang untuk menjual maklumat itu kepada penjenayah siber.

Epsilon memberi perkhidmatan e-mel kepada 2,500 syarikat di seluruh dunia. Ia mendedahkan, data pelanggan kira-kira dua peratus daripada keseluruhan pelanggannya sudah dicuri penggodam selepas mengesan 'kes masuk tanpa kebenaran.' Ed Heffernan, ketua eksekutif Alliance Data Systems Corp, syarikat induk Epsilon, memohon maaf atas kecurian itu kelmarin dan berkata ia sedang disiasat oleh pihak berkuasa persekutuan dan pakar forensik komputer luaran.

"Kami tidak akan biarkan perkara ini begitu saja dan sedang menangani tindakan jahat pencuri siber canggih dengan sedaya upaya," kata Heffernan.

Epsilon yang menghantar lebih 40 bilion e-mel setahun, tidak mengenal pasti firma mana nama pelanggan dan alamat emel diambil namun berpuluh syarikat Amerika memaklumkan perkara itu sejak beberapa hari lalu.

"Secara asasnya, data itu membabitkan tokoh industri penting peruncitan dan perbankan online. Sesetengahnya membabitkan jenama terkenal dunia," kata Ketua SpiderLabs Trustwave, Nicholas Percoco.
Ia termasuk hotel Hilton dan Marriott, gergasi telekom Verizon, rangkaian kedai ubat Walgreens, Home Shopping Network dan peruncit Best Buy, Kroger, New York & Co. serta Target.

Firma kewangan dan perbankan pula termasuk Citigroup, JPMorgan Chase, Capital One, US Bank, Barclays Bank of Delaware dan Ameriprise Financial.

Percoco berkata kecurian data Epsilon mungkin membabitkan 100 juta alamat e-mel dan 'mungkin berakhir dengan pelanggaran terbesar data mentah peribadi, data pelanggan.'

Tidak hairanlah, bank utama Amerika selain hotel, peniaga dan syarikat lain mula memberi amaran kepada pelanggan supaya berhati-hati dengan e-mel palsu selepas Epsilon mengakui minggu lalu penggodam berjaya mendapat capaian terhadap sistem e-mel syarikat itu.

Pakar berkata, kecurian data di Epsilon mungkin terbesar dari segi jumlahnya berbanding dengan eksploitasi oleh Albert Gonzalez, seorang penggodam yang merengkok 20 tahun dalam penjara kerana mencuri puluhan juta nombor kad kredit dan debit. – AFP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Negara Asia makin gusar ancaman radiasi nuklear

Posted: 07 Apr 2011 12:17 PM PDT

Dunia

TOKYO: Beberapa jiran Jepun semakin menyuarakan kebimbangan mengenai risiko pencemaran radiasi di wilayah masing-masing akibat kebocoran loji nuklear Fukushima sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jepun beberapa minggu lalu.

Di Korea Selatan, beberapa sekolah ditutup kerana ibu bapa pelajar risau anak mereka kena radiasi ketika hujan.

"Kami juga menghantar risalah rasmi kepada pihak sekolah supaya tidak mengadakan aktiviti di luar darjah," kata pegawai kementerian berkenaan di Seoul. Agensi keselamatan nuklear Korea Selatan melaporkan kehadiran bahan radioaktif rendah iodin dan caesium dalam hujan di selatan negara itu meskipun parasnya tidak mengancam nyawa.

Tetapi, ramai penduduk Korea Selatan kini memakai topeng muka ketika keluar rumah. Kesesakan lebih ketara di jalan menuju sekolah kerana mereka tidak membenarkan anak berjalan ke sekolah.

"Kami dekat dengan Jepun berbanding Amerika atau Eropah. Penduduk kami tentunya lebih risau," kata Presiden Lee Myung-bak yang membentuk jawatankuasa khas bagi memantau kesihatan awam.

Kementerian Kesihatan China pula mengesan bahan radioaktif di tiga wilayahnya manakala India berhenti mengimport makanan Jepun selama tiga bulan dan Singapura mengharamkan pengimportan sayur dan buah.
Di Vienna, pegawai nuklear Jepun disoal siasat rakan mereka dari negara lain, khususnya Russia.

"Rakan mereka meminta lebih banyak maklumat terutama Russia," kata sumber diplomatik. Malah, pegawai Russia memberitahu pegawai Jepun supaya meningkatkan usaha menangani pencemaran radioaktif. – Reuters


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen