Ahad, 3 April 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Jurutera gagal tutup rekahan loji

Posted: 03 Apr 2011 12:52 PM PDT

Dunia

Kebocoran bahayakan pekerja

TOKYO: Jurutera semalam gagal menutup rekahan yang menyebabkan air tercemar radiasi mencurah ke dalam Lautan Pasifik dari loji jana kuasa nuklear yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami bulan lalu, namun pencarian di tapak itu tidak menemui kebocoran lain semalam.

Gambar diedarkan syarikat pengendali loji, Tokyo Electric Power Co (TEPCO), menunjukkan air memancut daripada dinding dan menyembur ke laut. Air tercemar itu segera larut dengan air laut, mungkin membahayakan kepada pekerja loji itu. Lopak air di loji nuklear Fukushima Dai-ichi, yang dipercayai datangnya dari teras reaktor, berulang kali memaksa juruteknik berundur dan menangguhkan tugas.

Gempa bumi dan tsunami besar-besaran merosakkan loji jana kuasa itu pada 11 Mac lalu, menyebabkan sistem penyejukan gagal dan reaktor terlebih panas secara berbahaya sejak itu. Beberapa masalah timbul hampir setiap hari menyebabkan sejumlah besar radiasi bocor ke atmosfera, tanah dan laut dalam krisis nuklear terburuk sejak terbakarnya Chernobyl pada 1986 di negara bekas Kesatuan Soviet.

Bencana berganda yang melanda Jepun itu yang memusnahkan kawasan besar di pantai timur laut negara itu dipercayai menyebabkan 25,000 maut.

Semalam menandakan hari terakhir pencarian bersama tentera Amerika Syarikat dan Jepun untuk mayat mangsa di perairan. Usaha itu kemungkinan harapan terakhir mencari mangsa.
Setakat ini, 12,000 kematian disahkan, dan tambahan 15,400 masih hilang.

Kelmarin, pekerja menemui rekahan 20 sentimeter dalam lubang penyelenggaraan di loji Fukushima Daii-chi dipercayai disebabkan gempa bumi 9.0 magnitud yang melanda Jepun.

Air mengandungi paras iodin radioaktif jauh melebihi had selamat mencurah daripada loji itu ke dalam laut Pasifik, kata Hidehiko Nishiyama dari Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun (NISA).

Pekerja mengisi lubang itu dengan konkrit dalam usaha menutup rekahan namun gagal mengeringkannya. Mereka bercadang meletakkan polimer semalam, kemungkinan mencipta penutup jauh ke dalam sistem.

Sejak 10 hari lalu, lopak air tercemar ditemui di seluruh loji dan paras tinggi radioaktif diukur dalam laut, namun ini menandakan kali pertama pihak berkuasa mengatakan mereka menemui satu tempat di mana air mengalir ke dalam laut. – AP


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tentera pemberontak terus asak anggota sokong Gaddafi

Posted: 03 Apr 2011 12:52 PM PDT

Dunia

BREGA, Libya: Tentera pemberontak terus bertempur dengan tentera setia kepada pemimpin Libya Muammar Gaddafi di bandar minyak di timur ini semalam, ketika pesawat tempur Barat berlegar di ruang udara dan beberapa letupan kedengaran.

Perang saudara Libya yang tercetus lebih sebulan lalu berikutan bantahan rakyat yang mendesak persekitaran lebih demokratik, kini dijangka berlarutan lebih lama, walaupun serangan udara Barat banyak membantu pemberontak.

Kumpulan pemberontak semalam mengambil langkah untuk bertindak lebih berkesan dengan membentuk 'pasukan krisis' diketuai bekas menteri dalam negeri Libya yang dilantik panglima angkatan tentera pemberontak. Di pinggir Brega, tahap disiplin di kalangan pasukan pemberontak jelas kelihatan berbanding pasukan sukarelawan yang dikerahkan beberapa kilometer di belakang barisan hadapan perang.

Pemberontak juga dilihat mengerah senjata berat di pinggir bandar minyak ini yang ditawan seketika oleh mereka kelmarin tetapi terpaksa berundur berikutan kehadiran penembak curi Gaddafi di tengah bandar.

"Kami kini dalam proses menyusun semula pasukan. Kami sudah membentuk briged pertama yang dianggotai oleh tentera Gaddafi yang berpaling tadah dan mereka yang sudah bersara," kata bekas mejar tentera udara Jalid al-Libie.

Ditanya mengenai jumlah anggota briged itu beliau berkata ia tidak boleh didedahkan. "Apa yang lebih penting ialah mutu pasukan," katanya.
Beliau berkata matlamat briged berkenaan ialah untuk mengukuhkan kedudukan dimenangi dan mendapat bantuan sukarelawan yang kurang terlatih untuk mempertahankan kedudukan berkenaan. – Reuters


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen