Rabu, 30 Mac 2011

Utusan Online - Luar Negara

Utusan Online - Luar Negara


Junta tentera Myanmar dibubar

Posted:

Junta tentera Myanmar dibubar

Junta tentera Myanmar dibubar


GAMBAR yang dipetik daripada rakaman televisyen kerajaan Myanmar, MRTV menunjukkan majlis angkat sumpah Thein Sein sebagai presiden republik tersebut di Parlimen di ibu negara barunya, Naypyidaw, semalam. – AFP


YANGON 30 Mac – Junta tentera Myanmar yang memegang kuasa selama hampir 50 tahun dibubarkan hari ini sejurus selepas menyerahkan kuasa kepada sebuah kerajaan awam.

Junta yang dikenali dengan nama rasminya Majlis Keamanan dan Pembangunan Negara (SPDC) 'telah dibubarkan secara rasmi', lapor televisyen kerajaan dengan memetik arahan yang ditandatangani oleh Jeneral Kanan Than Shwe.

Than Shwe yang menjalankan pemerintahan autoritarian sejak 1992 disebut hanya sebagai 'Pengerusi SDPC' dalam laporan itu dan beliau dipercayai telah digantikan sebagai ketua komander tentera.

SPDC, sebelum ini dikenali sebagai Majlis Pemulihan Undang-Undang dan Ketenteraman Negara (SLORC) merampas kuasa pada 1988, tetapi Myanmar diperintah oleh junta tentera sejak 1962.

Pengumuman bersejarah mengenai pembubaran junta itu dibuat selepas seorang pegawai berkata, seorang ketua tentera baru menghadiri majlis angkat sumpah sekutu rapat Than Shwe, Thein Sein sebagai Presiden Myanmar.

Jeneral Min Aung Hlaing hadir pada majlis angkat sumpah itu selaku Ketua Komander Angkatan Bersenjata negara ini, iaitu jawatan yang sebelum ini dipegang oleh Than Shwe.

Than Shwe dijadual bersara daripada angkatan bersenjata tetapi akan terus memainkan pengaruh besar di sebalik tabir memandangkan ramai sekutunya kini menduduki jawatan utama dalam kerajaan baru.

Turut mengangkat sumpah pada majlis di ibu negara baru, Naypyidaw tersebut ialah kedua-dua Naib Presiden, Tin Aung Myint Ooo dan Sai Mauk Kham serta anggota Kabinet yang lain.

"Semua sekali 58 anggota baru Kabinet termasuk Presiden, dua Naib Presiden, menteri dan pegawai mengangkat sumpah pagi ini di Parlimen Kesatuan di Naypyidaw," kata seorang pegawai.

Parti yang disokong junta, Parti Perpaduan dan Pembangunan Kesatuan (USDP) memenangi majoriti kerusi pada pilihan raya November lalu, dengan menguasai 388 daripada 493 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi tidak mempunyai suara di Parlimen baru, kerana partinya, Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dibubarkan kerana memilih untuk memboikot pilihan raya. – AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jepun cadang tutup loji nuklear dengan kain khas

Posted:

Jepun cadang tutup loji nuklear dengan kain khas

Jepun cadang tutup loji nuklear dengan kain khas

SENDAI 30 Mac - Jepun hari ini menimbangkan rancangan untuk menyelubungi bangunan-bangunan reaktor nuklear yang rosak di Fukushima dengan kain penutup khas bagi membendung radiasi, dan mengepam air radioaktif ke dalam sebuah kapal tangki yang berlabuh di luar pesisir.

Pihak berkuasa belum dapat menstabilkan keadaan di loji nuklear yang terlampau panas dan mengeluarkan radiasi itu.

Segala kemungkinan sedang dipertimbangkan dalam usaha Jepun untuk menyelesaikan krisis nuklear terburuk di dunia sejak malapetaka Chernobyl 25 tahun lalu, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano hari ini.

Langkah itu termasuk menyelubungi tiga bangunan reaktor yang rosak teruk dengan kain penutup khas dan memasang penapis udara untuk membataskan radiasi, lapor akhbar Asahi Shimbun.

Satu lagi rancangan ialah menempatkan sebuah kapal tangki kosong di perairan dekat reaktor No. 2, supaya pekerja boleh mengepam air radioaktif menyamai kapasiti beberapa kolam renang Olimpik ke dalam badan kapal.

"Kami berada dalam situasi luar biasa, kerana itu kami perlu memikirkan pelbagai strategi, selain yang biasa kami fikirkan," kata seorang pegawai agensi keselamatan nuklear.

Kerajaan turut mengarahkan langkah keselamatan ditingkatkan segera di kesemua 55 loji tenaga nuklear di negara ini.

Arahan itu menandakan pengakuan pertama kerajaan bahawa piawai keselamatan tidak memadai apabila gempa bumi dan tsunami merosakkan kompleks nuklear di Fukushima hampir tiga minggu lalu.

Sementara itu kebocoran radiasi terus dikesan di sekitar loji tersebut, dengan bacaan menunjukkan iodin radioaktif di laut berhampiran pada tahap 3,355 kali paras dibenarkan. - AFP/Reuters

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen