Ahad, 20 Mac 2011

Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Kesan radiasi dalam susu

Posted: 19 Mar 2011 11:41 AM PDT

OSAKA: Pihak berkuasa Jepun semalam mengesan paras luar biasa radioaktif dalam susu dan bayam di kawasan berhampiran loji nuklear yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami.

Bagaimanapun, makanan itu tidak mengancam kesihatan manusia, kata Ketua Setiausaha Kabinet kerajaan, Yukio Edano.


Menurutnya, susu yang tercemar itu ditemui di wilayah Fukushima, tempat loji nuklear berkenaan terletak sementara bayam ditemui di Ibaku, wilayah berhampiran.

"Radiasi melebihi tahap yang dibenarkan oleh undang-undang Jepun dikesan," katanya.


Beliau juga berkata, Kementerian Kesihatan mengarahkan pihak berkuasa di kedua-dua wilayah itu supaya menyiasat tempat produk berkenaan dikeluarkan dan bagaimana ia diedar.


Sementara menunggu hasil siasatan itu, penjualan kedua-dua produk berkenaan digantung.

Edano menggesa pengguna bertenang.


"Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kesihatan rakyat kami terjamin," katanya.

Beberapa negara Asia sudah mengumumkan langkah untuk memeriksa makanan yang diimport dari negara itu sementara Kesatuan Eropah juga menggesa pemeriksaan serupa dijalankan.


Reaktor nuklear di loji nuklear Dai-ichi di Fukushima mula mengalami kepanasan melampau dan kebocoran radiasi ke udara selepas gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu merosakkan sistem penyejukannya.


Pada masa sama, kerajaan mengaku bertindak lewat dalam menangani krisis nuklear itu yang merumitkan lagi keadaan selepas gempa bumi dan tsunami dipercayai menyebabkan lebih 10,000 orang mati dan lebih 400,000 hilang tempat tinggal.


Pekerja kecemasan bertungkus lumus semalam untuk menyejukkan reaktor dan kolam simpanan bahan api dengan menyimbah air dan cuba memulihkan bekalan elektrik.


Edano berkata, krisis itu, walaupun teruk, tetapi tidak bertambah buruk.


"Keadaan di kompleks nuklear itu masih belum dapat diramal. Tetapi sekurang-kurangnya kami menghalangnya daripada bertambah teruk," kata Edano.


Dalam pada itu, pihak berkuasa Jepun mengesyorkan rakyatnya yang meninggalkan kawasan berhampiran loji nuklear itu supaya memakan iodin.


Iodin boleh digunakan untuk membantu melindungi mangsa daripada barah kelenjar jika terdedah kepada radiasi. - Agensi

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

7,917 orang disahkan mati

Posted: 19 Mar 2011 11:36 AM PDT

TOKYO: Agensi Polis Kebangsaan Jepun semalam mengesahkan 7,917 orang terbunuh dan 10,906 lagi hilang akibat gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu sejak sembilan hari lalu.

Sebahagian daripada yang hilang itu mungkin berada di luar timur laut negara itu ketika bencana berkembar itu melanda wilayah berkenaan. Selain itu, ada yang mungkin dihanyutkan tsunami ke laut. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan