Rabu, 16 Mac 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Ancaman radiasi meningkat

Posted: 16 Mar 2011 12:40 PM PDT

Dunia

Reaktor nuklear semakin panas, 140,000 penduduk tak boleh keluar rumah

TOKYO: Jepun belum dapat menyelesaikan masalah loji nuklearnya di Fukushima selepas pekerja diarahkan meninggalkan seketika tempat itu semalam kerana tahap radiasi meningkat.

Pihak berkuasa berkata, tahap radiasi di ibu negara itu 10 kali tinggi daripada normal tetapi tidak membahayakan kesihatan manusia di bandar yang mempunyai 13 juta penduduk. Pencemaran radiasi dilaporkan melanda Tokyo sejak 24 jam lalu meskipun pada tahap rendah dan kebakaran di loji nuklear berkenaan awal daripada itu meningkatkan lagi kebimbangan, lapor agensi berita Kyodo.

Pakar nuklear dan ahli akademik berkata, penyelesaian sedang dicari untuk mengawal kebocoran radiasi di loji Daiichi, wilayah Fukushima bagi mengelakkannya menjadi bencana nuklear paling teruk dalam sejarah.

"Ini adalah mimpi buruk yang berlaku perlahan-lahan," kata pakar penyelidik di Pusat Pengajian Antarabangsa, Institut Teknologi Massachusetts, Dr Thomas Neff.

Pekerja loji itu cuba membina laluan bagi membolehkan jentera bomba masuk ke rektor nombor 4 yang terbakar. Stesen televisyen NHK menunjukkan asap atau wap kelihatan naik di kemudahan itu kira-kira jam 1 tengah hari (waktu tempatan).
Bimbang dengan krisis yang dihadapi pekerja loji yang bekerja termasuk keletihan selepas bekerja berhari-hari sejak gempa bumi melanda, pihak berkuasa mengarahkan 750 pekerja untuk pulang dan hanya tinggal 50.

Mereka yang tinggal diarahkan keluar sejam selepas itu kerana tahap radiasi terlalu tinggi tetapi kemudian dibenarkan kembali, kata pegawai rasmi.

Pihak berkuasa menghabiskan beberapa hari terdesak untuk mengelakkan air yang digunakan untuk menyejukkan radioaktif daripada mendidih yang boleh menyebabkan kepanasan dan membebaskan bahan radiasi berbahaya di atmosfera.

Tahap 400 millisievert sejam direkodkan berdekatan rektor nombor 4, kata kerajaan. Pendedahan kepada lebih 100 millisieverts setahun boleh membawa kepada kanser, kata Persatuan Nuklear Dunia.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan meminta 140,000 penduduk yang tinggal dalam lingkungan 30 kilometer dari loji itu supaya tidak keluar rumah.
Jepun bimbang kebocoran serius bermakna ia akan sama dengan insiden nuklear paling teruk sejak Chernobyl di Ukraine pada 1986.

Sejak gempa bumi dan tsunami melanda Jumaat lalu, empat letupan berlaku di loji nuklear yang rosak itu, terbaru letupan di reaktor nombor 2 dan 4.

Angka kematian rasmi kerana gempa dan tsunami mencecah 4,000 manakala lebih 7,000 lagi senaraikan sebagai hilang.

Salji menjejaskan lagi keadaan ribuan mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat gempa dan tsunami kerana terpaksa bermalam dengan kesejukan akibat bekalan elektrik terputus.

Kebimbangan terus menyelubungi kerana radiasi dikhuatiri sampai kepada penduduk di barat laut Amerika Syarikat dan Kanada.

Pihak berkuasa memberi amaran orang ramai yang terdedah kepada radiasi supaya mengambil pottasium iodin bagi melindungi daripada kanser.

Radiasi nuklear menjadi isu sensitif bagi Jepun selepas kejadian paling teruk melanda negara itu ketika pengeboman bom atom di Nagasaki dan Hiroshima pada 1945. – Reuters


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gegaran baru landa timur laut Jepun

Posted: 16 Mar 2011 12:37 PM PDT

Dunia

Mangsa gempa kurang makanan, air, ubat

TOKYO: Gegaran baru berukuran 6.4 skala Richter melanda timur laut Jepun awal semalam, menyusuli dua gempa susulan kelmarin menyebabkan bangunan di ibu negara berhayun ketika mangsa gempa bumi terburuk negara Matahari Terbit itu menghadapi kekurangan makanan, air dan ubat.

Gegaran susulan itu dilaporkan berpusat di pantai Honshu pada jam 1 pagi waktu tempatan, 95 kilometer dari Tokyo. Dua gegaran kelmarin berukuran 6 dan 6.2 skala Richter. Pihak berkuasa Jepun dan masyarakat antarabangsa terus memberi bantuan kepada mangsa di zon bencana selepas gempa pada Jumaat lalu mengorbankan 3,373 orang manakala 6,746 lagi belum diketahui di mana mereka berada.

Seramai 530,000 orang tinggal di lebih 2,600 tempat perlindungan sementara di kawasan bencana. Selain kekurangan makanan dan air, bekalan perubatan dan bahan api juga sukar didapati.

Ia menyebabkan kerajaan Jepun meningkatkan usaha membantu mangsa dengan menghantar bantuan.

Bank Pusat Jepun memasukkan 3.5 trilion yen (RM130 bilion) ke dalam sistem kewangan bagi menenangkan bursa saham.
Jurucakap Kementerian Luar China, Jiang Yu, berkata Beijing akan terus memberi bantuan sewajarnya kepada Jepun mengikut keperluannya.

Selain itu, beberapa negara anggota Asean juga menawarkan bantuan kepada Jepun, menurut kenyataan sektretariatnya.

Bantuan diberi dalam pelbagai bentuk termasuk wang tunai, ubat, makanan dan usaha menyelamat.

Kemboja memberi AS$100,000 (RM300,000) bagi mangsa manakala Indonesia menghantar pasukan 64 anggota ke ke Jepun.

Laos turut memberi bantuan kecemasan bernilai AS$100,000 selain bersetuju mengumpul lebih banyak derma dan sedia menghantar anggota penyelamat.
Filipina bersedia menghantar kontinjen mencari dan menyelamat manakala Singapura menyunmbang S$500,000 (RM1.2 juta).

Thailand juga berjanji memberi 15,000 tan beras dan bantuan bernilai lebih AS$6.5 juta (RM19.5 juta) manakala Vietnam menyumbang bantuan bernilai AS$200,000 (RM600,000).

Kerajaan Cuba pula menawarkan untuk menghantar pasukan perubatan dan penyelamat ke Jepun. – Agensi


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan