Selasa, 1 Mac 2011

Berita Harian: Dunia

Berita Harian: Dunia


Semua rakyat sayang saya: Gaddafi

Posted: 01 Mar 2011 11:50 AM PST

Dunia

Pemimpin Libya dakwa tidak ada sebarang bantahan

WASHINGTON: "Semua rakyat sayangkan saya," kata pemimpin Libya, Muammar Gaddafi kelmarin tanpa mengendahkan tekanan antarabangsa untuk berundur selepas empat dekad memerintah negara itu.

"Mereka sayangkan saya. Semua rakyat bersama saya. Mereka sungguh sayangkan saya. Mereka akan mati untuk melindungi saya," kata pemimpin veteran Libya dalam bahasa Inggeris yang tersekat-sekat semasa ditemuramah saluran televisyen ABC, BBC dan The Times of London, temuramah pertama diberinya kepada wartawan asing sejak berdepan dengan kebangkitan rakyat 15 Februari lalu. "Tiada sebarang demonstrasi langsung di jalanan," dakwa Gaddafi yang memerintah negara utara Afrika lebih 41 tahun.

"Tiada sesiapa yang menentang kami. Menentang saya untuk apa?".

Kenyataan yang dibuat pemimpin Libya itu menunjukkan beliau tidak kisah langsung mengenai tentangan rakyatnya. Ia turut dikutuk Duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Susan Rice.

"Ia kedengaran seperti beliau berada dalam khayalan. Beliau boleh bercakap sambil ketawa semasa bersama wartawan antarabangsa yang juga warga Amerika ketika beliau menyembelih rakyatnya sendiri," kata Rice di Rumah Putih.
"Ini membuktikan beliau tidak layak untuk memerintah dan bagaimana beliau terputus daripada dunia realiti.".

Gaddafi ditemuramah di Tripoli di saat kuasa dunia menekan rejim pimpinan
beliau berikutan kekerasan melampau digunakan.

Gaddafi turut mengejek apabila diminta mengulas sama ada beliau akan menggunakan senjata kimia untuk mempertahankan kuasa.

"Kita sudah menghapuskannya semua. Ini adalah perkara lampau dan kita sudah menghentikannya. Adakah logik seorang lelaki yang waras akan menggunakan senjata seumpama itu walaupun terhadap musuhnya. Biarkan saya dengan rakyat saya," kata Gaddafi.

Kumpulan prodemokrasi kini mengawal kawasan di timur negara Afrika utara itu, tetapi kumpulan hak asasi mendakwa sekurang-kurang 1,000 terbunuh dalam tindakan keras dilancarkan penyokong Gaddafi dan askar upahan.

Kini, Amerika secara terbuka meminta Gaddafi berundur dan mencadangkan pengusiran beliau.

Namun Gaddafi membalas balik dan berkata beliau dikecewakan Amerika Syarikat.

"Ini adalah pengkhianatan. Mereka tiada moral. Saya sangat terkejut yang kita bersekutu dengan Barat untuk memerangi al-Qaeda dan sekarang kita melawan pengganas dan mereka meninggalkan kita," katanya, menurut televisyen ABC.

"Mungkin mereka mahu menjajah Libya," ABC memetik pemimpin itu sebagai berkata dan menambah Gaddafi menegaskan beliau tidak perlu berundur kerana beliau bukan presiden atau Raja dan tidak memegang sebarang jawatan. – AFP

INFO: Biodata Muammar Gaddafi

  • Nama penuh: Muammar Muhammad 'Abu Minyar' al-Gaddafi
  • Tarikh lahir: 7 Jun 1942,
    di sebuah kawasan gurun berhampiran wilayah Sirt
  • Mengetuai rampasan kuasa tentera pada 1 September 1969 menggulingkan Raja Idris yang sedang menjalani rawatan di Turki
  • Apabila Gaddafi melepaskan jawatan perdana menteri pada 1972, beliau memakai gelaran kehormat 'Pemimpin dan Pembimbing Revolusi'

  • Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Penduduk Palestin turut berprotes

    Posted: 01 Mar 2011 11:48 AM PST

    Dunia

    RAMALLAH, Tebing Barat: Gelombang kebangkitan popular di kalangan dunia Arab turut memberi ilham kepada rakyat Palestin untuk mengadakan protes aman menentang pendudukan Israel sejak 43 tahun lalu, kata pemimpin Palestin.

    Mustafa Barghouthi, yang mendapat kedudukan kedua di belakang Mahmood Abbas dalam pilihan raya presiden pada 2005 berkata kegagalan rundingan damai sejak dua dekad lalu menaikkan semangat rakyat Palestin untuk mengadakan perarakan besar-besaran menentang pemerintah Israel.

    Barghouthi berkata kekacauan di Asia Barat menunjukkan bagaimana cepatnya ia berlaku dan menghasilkan keputusan lebih cepat berbanding pergerakan tanpa keganasan di India menentang pemerintahan British pada kurun ke-20 dan Martin Luther King di Amerika Syarikat. – Reuters
    Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan